Thursday, July 22, 2010

Kelebihan Bulan Rejab, Sya’aban dan Ramadan


Kelebihan Bulan Rejab, Sya’aban dan Ramadan

AS-SYAIKH Daud bin as-Syaikh Abdullah Al-Fatani dalam kitabnya Jam'ul-Fawaid mencatatkan bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan sebagai bulan mulia dan terkemuka berbanding bulan lain.

Ketiga-tiga bulan itu mempunyai keistimewaan masing-masing dalam aspek darjat kebesaran dan keberkatan serta nilai sejarahnya.

Rasulullah meletakkan bulan Syaaban di samping Ramadan pada darjat lebih tinggi daripada bulan lain, khususnya untuk Baginda Rasulullah S.A.W sendiri.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah, Baginda Rasulullah S.A.W Rasulullah S.A.W bersabda: "Sucikan diri kamu dalam bulan Syaaban dan elokkan niat kamu untuknya. Sesungguhnya kelebihan bulan Syaaban daripada bulan lain seperti kelebihanku daripada kamu."

Mengikut riwayat lain, Rasulullah S.A.W bersabda: "Kelebihan bulan Rejab daripada bulan lain seperti kelebihan al-Quran daripada kitab lain manakala kelebihan Syaaban daripada bulan lain seperti kelebihanku daripada nabi yang lain dan kelebihan Ramadan daripada bulan lain seperti kelebihan Allah daripada seluruh makhluk."

Mengikut Aisyah: "Bulan yang paling disayangi Nabi Muhammad ialah Syaaban."

Rasulullah pernah bersabda kepada sahabat: "Tahukah kamu kenapa bulan ini dinamakan Syaaban?" Jawab sahabat: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui."

Sabda Baginda Rasulullah S.A.W lagi: "Sebabnya dalam bulan ini (Syaaban) bercabang-cabang dan amat banyak kebajikan."

Kalimah Syaaban itu sendiri mengandungi lima huruf:

“syin” daripada kalimah syarfun bererti kemuliaan;

''ain” daripada kalimah ''uluwun' bererti ketinggian;

“ba” daripada kalimah birrun bererti kebajikan;

“alif” daripada kalimah alfah bererti berjinak-jinak dan

“nun” dari pada kalimah nurun bererti cahaya.

Baginda Rasulullah S.A.W mengamalkan ibadat puasa dalam bulan Syaaban sepenuhnya sedangkan dalam bulan lain, kecuali Ramadan, Baginda Rasulullah S.A.W tidak berbuat begitu.

Hal ini menyebabkan Usamah binti Zaid berkata kepada Baginda Rasulullah S.A.W: "Ya Rasulullah, aku lihat engkau berpuasa sepanjang Syaaban tetapi tidak demikian pada bulan lain, kecuali Ramadan."

Baginda Rasulullah S.A.W menjawab: "Bulan yang dilupai oleh segala manusia ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Bulan inilah (Syaaban) diangkat segala amal manusia dan aku sukacita amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa."

Rasulullah bersabda: "Siapa berpuasa sehari dalam bulan Syaaban, diharamkan oleh Allah tubuhnya daripada api neraka; dia menjadi kawan kepada Nabi Yusuf di dalam syurga dan diberi pahala Nabi Ayub dan Nabi Daud. Jika dia berpuasa cukup sebulan, akan dipermudahkan dia menghadapi sakaratulmaut, terlepas daripada kegelapan dalam kuburnya, terselamat daripada huru-hara Munkar dan Nankir, ditutup oleh Allah kemaluannya pada hari kiamat dan diwajibkan kepadanya syurga."

Puasa dua hari Khamis: Disebut dalam kitab Al-Barakah, Rasulullah S.A.W bersabda: "Siapa berpuasa pada hari Khamis awal dan akhir Syaaban, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga."

Puasa tiga hari: Rasulullah S.A.W bersabda: "Puasa bulan Syaaban adalah perisai (pelindung) daripada api neraka. Dan sesiapa ingin berjumpa denganku, berpuasalah selama tiga hari."

Anas pula meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W pernah ditanya, apakah puasa yang afdal, lalu Baginda Rasulullah S.A.W menjawab: "Puasa Syaaban kerana membesarkan bulan Ramadan. Untuk berpuasa Ramadan, sucikanlah diri kamu dengan puasa Syaaban.

"Seorang hamba Allah yang berpuasa tiga hari dalam Syaaban, kemudian dia mengucap selawat kepadaku beberapa kali sebelum berbuka, nescaya diampuni Allah dosanya yang lalu dan diberkati rezekinya."

Puasa makhluk lain: Disebut dalam kitab al-Barakah bahawasanya jin, burung, segala binatang buas dan ikan di laut berpuasa pada hari Nisfu Syaaban.

Malam Nisfu Syaaban: Jika Rejab terkenal dan dimuliakan kerana peristiwa Israk dan Mikraj, Syaaban dimuliakan kerana Malam Nisfu Syaaban.

Nama Nisfu Syaaban (separuh bulan Syaaban) tepat dengan tarikh ketibaannya, iaitu pada setiap malam 15 Syaaban.

No comments:

Post a Comment